Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata 110 pelarian Rohingya dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur menggunakan trak polis pada 8.50 malam tadi. (Gambar Benama) PETALING JAYA: Semua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur memiliki dokumen sah dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata 110 pelarian Rohingya itu termasuk 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan, dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada 8.50 malam tadi.
"Jumlah itu turut terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya," katanya menurut Sinar Harian. Beliau berkata, tindakan dokumentasi ke atas pelarian itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur serta wakil bersama pejabat UNHCR. Katanya, semua pelarian itu ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur dan pihak UNHCR berusaha mengambil tindakan lanjut ke atas mereka hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara awal pagi semalam dengan menaiki tiga bas, selepas diusir penduduk dari penempatan mereka di Pulau Pinang. Mereka berkampung di depan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, sebelum dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti, menggunakan empat trak polis bermula 8.20 malam Isnin.
Summary from source