Mahkamah Majistret JB jatuh hukuman denda antara RM4,000 hingga RM10,000 ke atas warga China yang mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan imigresen dan penipuan. (Gambar Wikimedia Commons)PETALING JAYA: Seramai 159 warga China didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas penglibatan dalam sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Forest City, Johor.Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 58 tahun itu turut didakwa memasuki dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah.Mereka didakwa di hadapan Majistret A Shaarmini, Atifah Hazimah Wahab dan Nurzihan Abdul Rehman mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana memperdaya mangsa melalui skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud.Mereka juga didakwa atas kesalahan memasuki negara secara haram di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, lapor Sinar Harian.Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda antara RM4,000 hingga RM10,000 ke atas mereka yang mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan imigresen dan penipuan tersebut.Mahkamah menetapkan 13 hingga 24 Ogos untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen bagi mereka yang mengaku tidak bersalah.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Shariffudin, Nor Hidayah Tarmizi, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Adilah Farzana dan Nor Deana Aqilah Aliman.Kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Heng Wang Qianyou, Heng Wang Qianwei, Clement Tiong dan Ng Mee Xuan.Satu operasi bersepadu besar-besaran pada 15 Julai lalu telah membawa kepada penumpasan dua sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Forest City, Johor, dengan 335 individu ditahan, kebanyakannya warga China.Menurut Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, sindiket pertama membabitkan 279 suspek yang didakwa melakukan penipuan cinta ('love scam') dan mata wang kripto, manakala sindiket kedua melibatkan 56 suspek yang didakwa menyamar sebagai ejen pekerjaan dan menawarkan pelaburan mata wang kripto palsu kepada mangsa.
Summary from source