Ketua Polis Hilir Perak Chua Kok Lian berkata kereta dipandu seorang lelaki 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan, sebelum melanggar motosikal dinaiki dua remaja dan sebuah kenderaan lain serta seorang kanak-kanak lelaki di tepi jalan. (Gambar Bernama)IPOH: Dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit nahas tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, semalam.Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 6.35 petang Ahad."Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan," katanya dalam kenyataan.Menurutnya, dua remaja yang juga penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta terbabit serta kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.Beliau berkata, saringan awal air kencing pemandu kereta itu didapati positif dadah jenis benzodiazepine.Jelasnya, pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 44(1)(a) dan 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Summary from source