Polis menahan 309 warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan berusia 20 hingga 58 tahun dalam operasi serentak ke atas 27 unit pangsapuri serta lima banglo di Forest City.PETALING JAYA: Dua sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Forest City, Johor tumpas susulan penahanan 335 individu, termasuk warga asing.Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata 309 warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan berusia 20 hingga 58 tahun ditahan dalam operasi bersepadu secara serentak ke atas 27 unit pangsapuri serta lima banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket itu."Dua sindiket berbeza itu menjalankan kegiatan penipuan dalam talian seperti tawaran pelaburan mata wang kripto dan 'love scam' yang menyasarkan mangsa dari luar negara, khususnya China dan Indonesia," katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di IPK Johor.Beliau berkata, sindiket pertama menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok untuk mencari mangsa melalui tawaran pulangan pelaburan tidak wujud, dengan individu ditahan dipercayai bertindak sebagai ejen mencari pelanggan dengan gaji bulanan RM2,500 hingga RM4,000.Katanya, sindiket kedua disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai firma guaman, selain menawarkan pelaburan dan pelaburan mata wang kripto palsu kepada mangsa.Jelasnya, siasatan mendapati dua sindiket itu tiada kaitan dengan isu pusat latihan warga asing di Forest City yang terpalit kontroversi baru-baru ini.Menurutnya, dalang utama sindiket dipercayai masih bebas dan usaha mengesannya giat dijalankan, termasuk melalui kerjasama dengan Interpol.Beliau berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai RM1 juta, termasuk 313 unit komputer, 1,557 telefon bimbit dan sebuah Mazda CX-8.
Summary from source