HomeWorld

Ada kaitan kes dadah, mangsa kes culik ditahan bawah LLPK

World 1 source 1 country 14m ago

M Kumar berkata pihaknya masih menyiasat kejadian seorang lelaki yang diculik selepas isterinya membuat laporan berhubung tuntutan wang tebusan RM7 juta. SUBANG JAYA: Polis mengesahkan mangsa kes culik yang diselamatkan minggu lalu kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985). Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata tindakan itu susulan siasatan mendapati wujud elemen sindiket pengedaran dadah dalam kes berkenaan.

Menurutnya, perkembangan itu diperoleh hasil siasatan lanjut dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman. “JSJN Bukit Aman telah membuat tangkapan di bawah LLPK ke atas mangsa dalam kes culik ini. “Kita percaya penglibatan sindiket pengedaran dadah dalam kes culik ini.

Siasatan masih diteruskan,” katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya. Beliau berkata dua lagi lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan, menjadikan keseluruhan tangkapan kini lapan individu. Katanya, semakan awal turut mendapati mangsa tidak mempunyai pekerjaan tetap, manakala beberapa suspek termasuk mangsa didapati positif dadah ketika ditahan.

“Siasatan juga sedang dijalankan terhadap pemilikan harta serta penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan,” katanya. Pada 19 Julai lalu, polis menyelamatkan seorang lelaki yang diculik selepas isterinya membuat laporan berhubung tuntutan wang tebusan RM7 juta. Mangsa diselamatkan dalam tempoh kira-kira 48 jam menerusi operasi khas JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Selangor di sebuah unit kediaman di i-City, Shah Alam.

Dalam operasi itu, polis menahan enam suspek, masing-masing lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan, selain merampas beberapa jenis dadah, telefon bimbit dan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan, selain Akta Dadah Berbahaya 1952.

Summary from source
Read the full story at the source Free Malaysia Today · MY
Get the news on TelegramTop stories & under-reported picks, straight to your feed — free. Join →