Tabung Haji berkata pembaharuan yang dilaksanakannya telah meningkatkan prestasi kewangannya, dengan kadar agihan keuntungan meningkat daripada 3.1% pada 2023 kepada 3.5% pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya agihan keuntungan diisytiharkan hanya berdasarkan keputusan kewangan yang telah diaudit sudah dilaksanakan sejak 2022.Lembaga Tabung Haji berkata dapatan RCI itu mengukuhkan keperluan untuk memastikan penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan yang berkuat kuasa.Menurut laporan RCI yang baru didedahkan, TH menyembunyikan kedudukan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun dengan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi 2017, sedangkan mengikut piawaian perakaunan yang betul ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion.Siasatan itu mendapati TH mengamalkan 'perakaunan kreatif' dengan menggunakan nilai aset boleh direalisasikan, bukannya nilai aset yang dilaporkan dalam penyata kewangan yang telah diaudit, bagi menentukan keupayaannya mengisytiharkan agihan keuntungan tahunan atau hibah.TH berkata pembaharuan yang dilaksanakannya, pengurusan risiko yang lebih baik serta strategi pelaburan yang diperkukuh telah meningkatkan prestasi kewangannya, dengan kadar agihan keuntungan meningkat daripada 3.1% bagi tahun kewangan 2023 kepada 3.25% pada 2024 dan 3.5% pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun."Ini mencerminkan komitmen berterusan TH untuk mengurus simpanan lebih 9.8 juta pendeposit secara berhemat, telus dan mampan," kata dana haji itu.
Summary from source