Gambar yang dimuat naik ke Threads menunjukkan polis menutup lokasi kejadian kepada orang ramai susulan dakwaan ancaman bom.PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu e-mel mendakwa terdapat bom di Centrepoint South Tower, Mid Valley City di Kuala Lumpur, yang dipercayai ancaman palsu.Ketua Polis Brickfields, Hoo Chang Hook, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengurus pengawal keselamatan pusat beli-belah itu pada 8.17 malam tadi memaklumkan satu e-mel diterima berhubung ancaman bom.Beliau berkata, bangunan itu segera dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, dengan unit pemusnah bom dan anjing pengesan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis itu kira-kira 10.30 malam."Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada sebarang bahan letupan, objek mencurigakan atau peralatan berkaitan bom ditemui di lokasi kejadian."Siasatan awal setakat ini mendapati ancaman tersebut dipercayai ancaman palsu yang dihantar melalui e-mel bagi menimbulkan ketakutan dan gangguan keselamatan awam," katanya dalam kenyataan.Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian serta Seksyen 507 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama.Seorang warganet memuat naik gambar di Threads semalam menunjukkan kehadiran polis yang menutup kawasan itu kepada orang ramai atas dakwaan ancaman bom.
Summary from source