Jika pencalonannya diluluskan Senat Amerika Syarikat, Joshua Harris akan menggantikan Edgard D Kagan sebagai duta ke Malaysia. (Gambar US Department of State) PETALING JAYA: Amerika Syarikat mencalonkan diplomat berpengalaman Joshua Harris sebagai duta baharunya ke Malaysia. Nama Harris dikemukakan dalam senarai pencalonan yang dihantar kepada Senat AS semalam untuk mendapatkan pengesahan.
Harris, seorang diplomat kerjaya dari Maryland, ialah anggota Perkhidmatan Luar Kanan AS berpangkat menteri-kaunselor. Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua perwakilan dan beberapa kali memangku jawatan kuasa usaha di Kedutaan AS di Tripoli, Libya, serta Pejabat Luar Libya di Tunis, Tunisia. Harris juga pernah menjadi pengarah dasar kepada utusan khas presiden bagi Gabungan Global Menewaskan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), selain berkhidmat sebagai pengarah hal ehwal Iraq di Majlis Keselamatan Negara.
Beliau turut pernah memegang jawatan timbalan penolong setiausaha negara dan pengarah Pejabat Hal Ehwal Maghribi di bawah Biro Hal Ehwal Asia Barat, Jabatan Negara AS. Antara penempatan luar negara lain yang pernah disandangnya termasuk di Ljubljana, Slovenia; Baghdad, Iraq; Tripoli, Libya; dan Zagreb, Croatia. Harris ialah graduan Sekolah Perkhidmatan Luar Edmund A Walsh di Universiti Georgetown serta London School of Economics and Political Science.
Jawatan duta AS ke Malaysia kosong sejak tempoh perkhidmatan Edgard D Kagan berakhir pada Februari lalu. Sebelum Harris, pengulas konservatif dan penulis Nick Adams dicalonkan untuk menggantikan Kagan, namun pencalonannya digugurkan pada Februari. David Gamble kini berkhidmat sebagai kuasa usaha di Kedutaan AS.
Summary from source