Malaysia ketika ini tidak mempunyai rizab petroleum nasional, berbanding Jepun yang mempunyai rizab strategik lebih 400 juta tong. (Gambar EPA Images) PETALING JAYA: Malaysia perlu membangunkan rizab petroleum strategik disesuaikan keperluan sendiri, bukann mengguna pakai sepenuhnya model di Jepun atau Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis. Beliau berkata, Malaysia boleh memformalkan rizab strategik hibrid dengan mengekalkan inventori komersial, sambil mewujudkan rizab kecemasan kawalan kerajaan yang lebih kecil menerusi peraturan jelas mengenai bila stok dapat dikeluar dan ditambah semula.
Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani, mencadangkan pengeluar kilang penapis utama, pengimport, dan pengedar diwajib mengekalkan keperluan pegangan stok kecemasan minimum. "Model awam-swasta berlapis itu akan memperkukuh daya tahan tanpa bertindan infrastruktur sedia ada," katanya. Dalam pada itu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru satu pelan yang mempunyai kredibiliti dibangunkan bersama pihak industri dan rakan kongsi antarabangsa, bagi menentukan jumlah simpanan petroleum, serta pihak penyimpannnya.
Pelan tersebut akan memastikan stok kecemasan mencerminkan risiko bekalan sebenar Malaysia dan bukannya sasaran penyimpanan semberono. Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan sedang mengkaji keperluan rizab petroleum nasional susulan gangguan bekalan di Selat Hormuz sejak awal tahun ini, walaupun terdapat jaminan bekalan bahan api domestik kekal mencukupi. Ketika ini, Malaysia tidak mempunyai rizab petroleum strategik rasmi seperti Jepun atau AS dan bergantung pada inventori bahan api komersial, kapasiti penapisan domestik serta keanjalan import bagi memenuhi permintaan.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), sistem rizab minyak kecemasan Jepun sebahagian besar terdiri daripada stok milik kerajaan, dengan kewajipan pegangan stok lebih kecil dikenakan terhadap pihak industri. Ahli ekonomi Samirul Ariff Othman turut menyatakan, matlamat utama adalah demi memastikan sistem tenaga Malaysia mampu mendepani gangguan. "Akhirnya, keselamatan tenaga tidak diukur berdasar berapa banyak minyak dihasilkan satu-satu negara, sebaliknya berdasarkan sejauh mana seluruh sistem tenaganya kekal berdaya tahan apabila berdepan kejutan luaran," katanya kepada FMT.
Summary from source