Pengarah JSJN Hussein Omar Khan, berkata warga asing antara dalang satu daripada sindiket yang ditumpaskan dalam tiga serbuan berasingan bermula 23 hingga 25 Julai. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Bukit Aman menumpaskan tiga sindiket pengedaran vape mengandungi dadah sintetik bernilai RM45.6 juta dalam operasi khas susulan tujuh pelajar sekolah di Sentul ditemui khayal, pada 22 Julai.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Hussein Omar Khan, berkata ancaman penyalahgunaan vape yang disyaki mengandungi cecair dadah kini menjadi cabaran baharu dalam landskap jenayah dadah negara."Situasi itu semakin membimbangkan susulan kejadian membabitkan tujuh pelajar di Sentul, yang didapati khayal selepas menggunakan vape mengandungi cecair dadah sehingga menyebabkan dua daripada mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan."Fenomena ini amat serius," katanya menurut Berita Harian, di Kuala Lumpur.Hussein berkata, dalam Op Kesing dijalankan pada 23 Julai, JSJN menumpaskan sindiket didalangi seorang lelaki warga asing, selain lapan suspek lain termasuk lima wanita warga asing.Katanya, serbuan dilakukan di Kajang, Gombak, dan Sentul membawa kepada rampasan antaranya 742.74kg cecair methamphetamine, 1.54kg serbuk methamphetamine, 27.52kg cecair MDMA, 3.38kg serbuk MDMA, 4.16kg ketamin, dan 1.54kg pil Erimin 5.Hussein berkata, dalam operasi berasingan juga pada tarikh sama, Op Madarini melumpuhkan sindiket menjadikan rumah di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan vape mengandungi dadah sebelum dihantar ke luar negara."Operasi itu menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 55 tahun. Polis turut merampas 1,340 kartrij vape mengandungi cecair MDMA," katanya.Katanya, dalam Op Eristalis pada 25 Julai, kerjasama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sabak Bernam, berjaya menggagalkan cubaan sindiket membawa masuk bekalan dadah ke dalam bot sebelum diedarkan ke negara jiran melalui laluan laut."Dalam operasi itu, seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 26 dan 27 tahun ditahan di sekitar Sabak Bernam."Katanya, turut dirampas ialah 4.16kg ketamin, 7.12kg pil ekstasi, 3.04kg pil Erimin 5, 837g methamphetamine serta 3,750 kartrij vape mengandungi cecair MDMA, dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.7 juta.
Summary from source