Presiden PBB dan Pengerusi GPS Abang Johari Openg, berkata dalam era dipacu teknologi digital menjadikan politik bersandar kaum dan agama tidak lagi sesuai. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata politik bersandarkan kaum dan agama tidak lagi sesuai dalam era baharu dipacu teknologi digital.Beliau yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata rakyat Sarawak kini semakin menolak politik perkauman, sebaliknya mahukan kerajaan yang mampu membawa pembangunan serta meningkatkan taraf hidup mereka.Abang Johari berkata, kepimpinan perlu berteraskan ilmu, keupayaan, dan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang."Majoriti rakyat mahukan pembangunan dan kehidupan lebih baik, bukan lagi politik perkauman."Dalam era digital hari ini, yang penting ialah kebijaksanaan, ilmu, dan kemampuan, bukannya kaum atau agama," katanya menurut Bernama ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah, di Sibu.Abang Johari berkata, kejayaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memacu pembangunan negeri membuktikan dasar inklusif diamalkan PBB memberi manfaat kepada seluruh rakyat, tanpa mengira kaum atau fahaman politik.Pengerusi GPS itu berkata, pelantikan anak Sarawak daripada pelbagai kaum menerajui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) serta pelbagai agensi kerajaan membuktikan pentadbiran negeri mengutamakan kelayakan dan merit dalam pelantikan.Abang Johari berkata, sepanjang enam tahun pentadbiran GPS, pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jambatan, jalan raya, bekalan elektrik dan air telah dilaksanakan di seluruh negeri itu, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum.Pencapaian berkenaan, katanya membuktikan PBB sebagai tunjang GPS bukan sekadar menabur janji, sebaliknya melaksanakan dasar membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri.Abang Johari berkata, PBB juga perlu terus melahirkan barisan pemimpin muda yang berwibawa bagi meneruskan perjuangan mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan negeri itu kekal berada pada landasan mencapai matlamat pembangunan menjelang 2030.
Summary from source