Dalam konteks Adat Temenggung, derhaka terhadap raja atau pemerintah di Johor misalnya, sangat bergantung kepada kerangka mencabar kekuasaan raja. Konsep derhaka ini bermula dalam tradisi Melayu seawal Prasasti Telaga Batu (683 M) yang dikeluarkan oleh Raja Sri Jayanasa dari Sriwijaya.Prasasti itu mengandungi sumpahan dan kutukan terhadap sesiapa yang mengkhianati atau mencabar kekuasaan raja. Ancaman tersebut ditujukan kepada seluruh lapisan pentadbiran dan masyarakat, daripada putera raja, menteri, panglima, hakim, pedagang, askar hingga hamba raja.
Dalam konteks Sriwijaya ini, konsep derhaka berfungsi sebagai alat politik untuk mempertahankan kerajaan yang masih baharu dan mengawal kestabilan negara.Hari ini ada ahli akademik melihat sumpahan itu bukan sebagai bukti kezaliman Sri Jayanasa tetapi sebagai sumpah jawatan dan satu bentuk mekanisme pentadbiran. Selepas kedatangan Islam, konsep derhaka diteruskan dan digandingkan dengan konsep daulat, yang mengabsahkan kewibawaan raja memerintah. Dalam hal ini kata derhaka, atau menderhaka dalam kerajaan Melayu Islam merangkumi perbuatan seperti mengingkari titah raja, melakukan pemberontakan, memalsukan cap mohor diraja atau menggugat keamanan negeri.Walaupun tradisi Melayu menuntut kesetiaan kepada raja, kontrak sosial Sang Sapurba-Demang Lebar Daun menunjukkan bahawa apabila pemerintah menjadi zalim, menindas dan mencabuli hak rakyat, rakyat berhak bertindak untuk memulihkan keadilan.
Semua ini telah saya ulas dalam satu rencana saya di sini lapan tahun lalu, berjudul 'Derhaka Kepada Raja, Dulu dan Kini'.Dalam sistem demokrasi moden hari ini yang mana institusi raja adalah raja berperlembagaan, konsep derhaka tradisional semakin tidak relevan kerana kedaulatan dipindahkan daripada raja kepada rakyat melalui undang-undang dan pilihan raya.Dalam konteks Adat Perpatih, wacana mengenai derhaka ini mempunyai nuansa yang sama sekali berbeza. Ini kerana secara tradisinya, Adat Perpatih itu sendiri ditunjangi atas asas muafakat, perbincangan, dan pembahagian kuasa, bukannya atas ketaatan mutlak kepada seorang raja. Malah raja dalam Adat Perpatih, Yang di-Pertuan Besar atau Yamtuan Besar itu dipilih oleh Undang Yang Empat.
Ini bermakna legitimasi baginda datang daripada adat dan persetujuan para pembesar, bukan semata-mata keturunan atau daulat.Peranan Raja dalam Adat Perpatih adalah berkeadilan.
Summary from source