KPM kata ia ambil maklum pandangan berhubung pemilikan ekuiti Bumiputera dan sentiasa terbuka mendengar pandangan semua pihak.PETALING JAYA: Ketetapan pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan institusi pendidikan swasta bawah Kementerian Pendidikan (KPM).KPM mengumumkan perkara itu susulan perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri."Penyelarasan ini dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara," menurut kenyataan.Isu ini timbul awal minggu ini selepas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendedahkan garis panduan KPM yang didakwa mensyaratkan pusat tuisyen mempunyai 30% ekuiti Bumiputera untuk memperbaharui lesen tahun depan.Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka mempersoalkan kewajaran mewajibkan perniagaan sedia ada -- ada yang beroperasi berpuluh tahun -- untuk melepaskan 30% pemilikan mereka demi meneruskan operasi.Sarjana bebas, Sharifah Munirah Alatas, pula berpendapat, dasar itu berisiko menimbulkan sentimen perkauman dalam sektor pendidikan dan tidak semestinya menggalakkan keusahawanan Bumiputera tulen.Semalam, KPM mengumumkan ia akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyemak semula struktur pemilikan pusat tuisyen.Tegasnya, ia mengambil maklum pandangan berhubung syarat itu dan sentiasa terbuka mendengar pandangan semua pihak.Ia turut menzahirkan penghargaan kepada pengusaha pusat tuisyen atas sumbangan mereka selama ini dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memajukan lagi bidang pendidikan.
Summary from source