Hadi Awang berkata PAS bersama parti PN yang 'sehaluan' akan menentukan langkah seterusnya.PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang mempertahankan pengurusan Perikatan Nasional (PN) sebagai teratur dan mengikut perlembagaan gabungan itu, di sebalik dakwaan Bersatu bahawa kepimpinan diterajui PAS menjadi punca pendaftarannya dibatalkan.Hadi berkata hubungan dalam kalangan parti anggota PN juga kekal utuh, kecuali “satu pihak” yang menurutnya telah menyisihkan diri dan berpaling arah.Beliau tidak menamakan pihak yang dimaksudkan dalam kenyataannya.“PAS mengesahkan segala aspek pentadbiran dan pengurusan PN dijalankan secara teratur dan mengikut perlembagaan parti."Keharmonian dalam kalangan parti anggota amat utuh, kecuali satu pihak yang telah menyisihkan diri dan berpaling arah,” katanya dalam kenyataan.Kenyataan itu menyusuli kritikan Bersatu terhadap PAS selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) semalam membatalkan pendaftaran PN.Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mendakwa kepimpinan PN diterajui PAS melanggar Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan gabungan.Azmin sebelum ini mempertahankan aduan Bersatu kepada JPPM dengan mendakwa parti itu dinafikan hak menghadiri, memberikan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.Hadi turut mengecam keputusan JPPM itu yang menurutnya mendahului proses mahkamah dan menghadkan hak demokrasi dijamin Perlembagaan.Beliau juga mendakwa tindakan berkenaan menunjukkan 'ketakutan yang sedang memuncak' dalam kalangan kerajaan.JPPM membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dan representasi dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu. Keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata gabungan berkenaan akan mencabar keputusan JPPM dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.Hadi berkata PAS bersama parti PN yang 'sehaluan' akan menentukan langkah seterusnya, termasuk persiapan menghadapi PRN Melaka dan tindakan mahkamah bagi mencabar pembatalan pendaftaran itu."PAS menghargai sokongan ahli, penyokong dan pengundi atas pagar yang mengharapkan berlaku perubahan dalam kepimpinan negara, serta menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan lunas demokrasi," katanya. Pengasas bersama Bersatu, Redzuan Yusof, berkata PN kekal sebagai jenama yang cukup kuat dan tidak menolak kemungkinan Bersatu mengambil inisiatif untuk membentuk semula gabungan itu.PETALING JAYA: Gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) berpotensi dijanamakan semula sebagai Perikatan Nasional (PN) baharu, kata pengasas bersama Bersatu, Redzuan Yusof, selepas gabungan itu dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).Redzuan berkata PN kekal sebagai jenama yang cukup kuat dan tidak menolak kemungkinan Bersatu mengambil inisiatif untuk membentuk semula gabungan itu dengan gagasan serta hala tuju berbeza, lapor Utusan Malaysia.“Semasa Umno pernah dibatalkan pendaftarannya, maka wujud Umno baharu ketika itu.
Saya tidak boleh menidakkan ada usaha-usaha untuk mewujudkan PM baharu," katanya yang dipetik sebagai berkata.Redzuan berkata hala tuju gabungan baharu itu bergantung kepada perbincangan antara Biro Politik Bersatu dengan rakan parti lain.“Apa-apa sahaja jenamanya, terpulang kepada kepemimpinan Bersatu dan parti lain untuk menguruskan dengan sebaik-baiknya,” katanya.IPR, yang dilancarkan Oktober tahun lalu, menghimpunkan pemimpin daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia, Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, MAP, Parti Perikatan India Muslim Nasional dan Urimai.Bagaimanapun, ketiadaan wakil PAS dalam mesyuarat IPR baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai penyertaan berterusan parti itu dalam gabungan berkenaan.Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebelum ini mencadangkan supaya IPR diserap ke dalam PN atau kedua-dua gabungan itu membentuk pakatan pilihan raya bagi PRU akan datang.JPPM membatalkan pendaftaran PN pada Selasa selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.Pendaftar bertindak susulan aduan Bersatu yang mendakwa parti itu dinafikan hak untuk menghadiri, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata gabungan itu akan mencabar pembatalan pendaftaran tersebut dan memohon penangguhan pelaksanaannya.
Summary from source