Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan, dan keselamatan yang tertinggi. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Grenad mengorbankan dua anggota tentera semasa latihan di Kedah bulan lalu diaktifkan sebelum sempat dibaling susulan tuas keselamatannya dipercayai terlepas lebih awal, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.Khaled berkata, grenad mula bekerja apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badan grenad dan akan meletup dalam tempoh kira-kira lima saat.Dalam kenyataan, beliau berkata, proses latihan membaling grenad dilaksanakan secara berperingkat mengikut arahan pengasuh dengan pembaling hendaklah memastikan grenad sentiasa digenggam kemas, khususnya pada tuas keselamatan, sehingga grenad dibaling ke arah sasaran.Katanya, berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan, siasatan mendapati tuas keselamatan dipercayai telah terlepas sebelum balingan disempurnakan.Pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, badan, dan anggota sebelah kiri."Corak kecederaan tersebut selaras dapatan grenad bekerja, sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota."Walau bagaimanapun, ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan tidak dapat dipastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas," katanya.Koperal Norazmi Abu Bakar dan Perajurit Siti Khadijah Sungip cedera parah selepas sebiji grenad meletup semasa latihan di Kem Hobart, Gurun, pada 16 Jun.Keduanya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia setibanya di sana.Khaled berkata, tentera darat telah menubuhkan Lembaga Siasatan sejurus insiden, dengan dapatan siasatan diteliti beberapa peringkat perintah sebelum laporan akhir dikemukakan kepada kementerian.Katanya, Kementerian Pertahanan dan tentera darat akan memperketat prosedur keselamatan, protokol pengendalian bom tangan, pengawasan, serta latihan bagi mengurangkan risiko insiden seumpama itu daripada berulang.Beliau turut menegaskan, tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi.
Summary from source