Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua calon bertanding dalam PRN 1 Ogos ini mengelak memainkan isu berkaitan 3R serta sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri. (Gambar Wikipedia)PETALING JAYA: Istana Negeri Sembilan menegaskan ia sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit mana-mana parti atau kegiatan politik.Justeru, semua parti politik dinasihat tidak mengaitkannya dalam ceramah dan kempen PRN Negeri Sembilan."Institusi raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara," kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan.Tegasnya, sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atau ahli kerabat diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.Katanya, Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon bertanding dalam PRN 1 Ogos ini mengelak memainkan isu berkaitan 3R serta sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri."Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan institusi diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak."Ia menasihatkan orang ramai tidak menyebar atau mempercayai maklumat tidak disahkan serta sentiasa merujuk saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat sahih.Terdahulu, satu video tular menunjukkan seorang ahli politik mendakwa istana Negeri Sembilan dan jawatan menteri besar "dipegang oleh DAP".
Summary from source