Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 akan diluaskan ke Selangor untuk perkasa penguatkuasaan terhadap isu sampah haram di negeri itu. (Gambar Bernama)PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju memperluaskan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) ke Selangor secara berfasa bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap isu sampah haram di negeri itu.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan akta itu bersama kerajaan Selangor, melibatkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).Katanya, langkah tersebut sebahagian kerangka reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memastikan Selangor, antara lokomotif ekonomi negara, mempunyai tahap kebersihan setaraf dunia."Pelaksanaan Akta 672 ini juga secara tidak langsung meraikan sempena ulang tahun Jubli Perak Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tahun ini.“Ini berita baik buat warga Selangor untuk mempertingkatkan pengurusan sisa pepejal secara lebih efektif," katanya dalam Majlis Sidang Media Sempena Pra Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026).Sebelum ini, kerajaan Selangor menyasarkan pemeteraian Akta 672 bersama persekutuan dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada September selepas menyerahkan semua dokumen dan inventori berkaitan PBT.Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor Ng Suee Lim dilaporkan berkata, langkah itu kritikal bagi mengenakan hukuman lebih berat, iaitu denda hingga RM100,000 atau penjara lima tahun, memandangkan denda PBT sedia ada sebanyak RM1,000 gagal memberi pengajaran.Berhubung perkembangan lain, Nga berkata, kementeriannya turut menyasarkan pembinaan 1,000 Taman Awam Madani menjelang 2033, dengan peruntukan dianggarkan RM500 juta, dalam usaha memperkasakan agenda gaya hidup sihat.Menurutnya, setiap taman awam menelan kos sekitar RM500,000 dan setakat ini sebanyak 217 taman telah disiapkan dalam tempoh dua tahun lalu, melepasi sasaran awal.Beliau turut menjangkakan lebih 317 taman akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini."Negara kita berdepan dua masalah kesihatan utama iaitu kadar obesiti yang kini mencapai 54%, tertinggi di rantau Asia serta kadar penyakit kencing manis yang berada di tangga kelima tertinggi di dunia melibatkan 19.1% rakyat Malaysia."Sebab itu penting adanya 'neighbourhood park' …
Summary from source