Jemaah Menteri memutuskan laporan RCI Tabung Haji akan dibentang dan dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat. PETALING JAYA: Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji akan didedahkan hari ini selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata laporan itu juga akan dibentang dan dibahaskan pada satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Katanya, Jemaah Menteri memutuskan siasatan penuh oleh badan penguatkuasaan berdasarkan laporan tersebut akan diteruskan serta-merta. "Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan, dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75% dari syor tersebut. "Pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Jemaah Menteri juga mengambil maklum pengumuman TH berkenaan agihan keuntungan 3.5% bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencerminkan penambahbaikan dalam pengurusan dana tersebut. RCI Tabung Haji ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat pengurusan, pengoperasian, dan isu berkaitan aset Tabung Haji antara 2014 hingga 2020, susulan kebimbangan tata kelola dan kedudukan kewangan dana berkenaan. Suruhanjaya siasatan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Raus Sharif itu, turut meneliti pemindahan aset kurang berprestasi kepada syarikat bertujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd selepas 2018.
Suruhanjaya berkenaan memuktamadkan laporannya pada Julai 2022. Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pendedahan laporan tersebut adalah bagi 'mengelakkan ketakutan' dalam kalangan pendeposit. Beliau berkata, kerajaan bimbang pendedahannya mencetuskan pengeluaran wang secara beramai-ramai yang mampu menjejaskan kestabilan dana.
Anwar berkata, keadaan kini telah berubah memandangkan Tabung Haji berada pada kedudukan lebih kukuh susulan langkah pembaharuan dan penambahbaikan pengurusan.
Summary from source