Pemain industri berkata prosedur berkaitan pengendalian kargo petroleum perlu dijelaskan segera. (Gambar Envato Elements)PETALING JAYA: Seorang pemain industri meminta penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenai pelaksanaan prosedur deklarasi K8 bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengusaha industri petroleum.Pemain industri R Jeyenderan berkata penjelasan rasmi itu penting bagi memastikan urusan pengendalian kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, berjalan lancar.Menurutnya, antara perkara memerlukan penjelasan ialah status kargo selepas dipunggah ke dalam tangki simpanan serta kaedah prosedur K8 perlu dilaksanakan pada peringkat berkenaan.“Saya telah menghantar e-mel kepada JKDM bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai bagaimana prosedur K8 sepatutnya dilaksanakan selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan,” katanya dalam kenyataan.R Jeyenderan.Ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu berkata permohonan berkenaan dibuat susulan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan percanggahan antara dokumen bil muatan dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di sebuah terminal di pelabuhan berkenaan.Menurutnya, pihaknya turut meminta penjelasan sama ada kargo yang diisytiharkan menerusi deklarasi K8 perlu terus diasingkan sepanjang tempoh penyimpanan.katanya, pemain industri memerlukan maklumat mengenai kaedah pemantauan kastam selepas kargo dipunggah, mekanisme bagi memadankan dokumen dengan kargo fizikal serta proses memastikan kargo yang dieksport selaras dengan deklarasi asal.Jelasnya, kepastian mengenai prosedur berkenaan penting kerana ia melibatkan operasi harian pemain industri, termasuk penghantaran kargo, dokumentasi perdagangan, pembiayaan, insurans dan pematuhan peraturan."Kelewatan mendapatkan penjelasan juga boleh memberi kesan kepada urusan perniagaan kerana pemain industri perlu menjalankan operasi berdasarkan prosedur yang jelas dan seragam."Penjelasan itu turut penting bagi memelihara keyakinan pemain industri dan pelabur ketika Malaysia berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab penyimpanan serta pemindahan petroleum serantau,” katanya.
Summary from source