Pengarah JKDM Pulau Pinang Hasbollah Din menunjukkan barangan dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup masuk 8.15 juta batang rokok putih tidak berkastam bernilai RM9.14 juta termasuk cukai melalui Pelabuhan Klang, Selangor, Jun lalu.Pengarah JKDM negeri, Hasbollah Din, berkata aktiviti itu terbongkar susulan pemeriksaan pada 24 Jun oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang ke atas sebuah kontena diisytiharkan sebagai kanvas plastik.“Pemeriksaan ke atas dagangan dalam kontena itu menemukan 815 'master case' mengandungi 8,150,000 batang rokok putih dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Pulau Pinang, hari ini.Beliau berkata, berdasarkan dokumen diperoleh, dagangan itu disyaki dari sebuah negara di Asia Tenggara, namun siasatan lanjut masih dijalankan.Hasbollah berkata, pihak terlibat didapati membuat pengikraran palsu di dalam manifes bagi mengaburi pihak berkuasa dengan siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan logistik yang mempunyai cawangan di Subang Jaya, Selangor.Susulan penemuan itu, beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dipercayai pengurus syarikat dipanggil bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM Pulau Pinang menumpaskan cubaan mengedar minuman keras tidak berkastam dipercayai untuk edaran pasaran tempatan di laluan susur keluar Plaza Tol Tambun arah Utara dekat Simpang Ampat, Nibong Tebal pada 24 Mei.Hasbollah berkata, pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan menemukan 5,904.48 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan berjumlah RM237,244.40 termasuk cukai selepas mengekori sebuah lori yang dipercayai dari Selangor menghala ke Tambun.Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan manakala lori dan minuman keras disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Summary from source