R Ramanan mengiringi Anwar Ibrahim yang menghadiri sesi ramah mesra bersama lebih 3,000 anggota masyarakat India di Negeri Sembilan. PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memperkasa masyarakat India menerusi pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan perlindungan sosial bagi memastikan komuniti itu tidak tercicir daripada arus pembangunan negara, kata Menteri Sumber Manusia Ramanan Ramakrishnan.Beliau berkata komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai program di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dengan lebih RM65.5 juta disalurkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.Menurutnya, bantuan berkenaan meliputi pendidikan, pembangunan usahawan, kebajikan masyarakat, rumah ibadat, rawatan dialisis serta sokongan kepada golongan B40.“Kerajaan Madani percaya pembangunan perlu bersifat inklusif. Tiada komuniti harus dipinggirkan dan setiap rakyat berhak menikmati peluang yang saksama untuk maju,” katanya dalam kenyataan.Ramanan berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri sesi ramah mesra bersama lebih 3,000 anggota masyarakat India di Negeri Sembilan.Katanya, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif khusus untuk membantu komuniti itu, termasuk Kalvi Madani, bantuan komputer riba kepada mahasiswa India dan penyediaan papan pintar untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).Program lain termasuk Celik Madani, Arogya Madani, Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan bantuan dialisis.Ramanan berkata kerajaan turut meningkatkan peruntukan MITRA kepada RM150 juta, yang disifatkannya sebagai jumlah tertinggi pernah disediakan untuk pembangunan masyarakat India di Malaysia.Menurutnya, sambutan terhadap program berkenaan menunjukkan masyarakat menghargai pendekatan kerajaan yang bukan sahaja mendengar masalah mereka, tetapi turut menyediakan penyelesaian menerusi dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung.Beliau berkata usaha memperkasa masyarakat India akan terus diperkukuh melalui pembangunan modal insan dan penyediaan lebih banyak peluang untuk meningkatkan taraf hidup.“Apabila dasar dilaksanakan secara konsisten dan manfaatnya dapat dirasai rakyat, keyakinan terhadap kerajaan akan terus diperkukuh.“Inilah komitmen Kerajaan Madani dalam membina Malaysia yang lebih adil, inklusif dan sejahtera,” katanya.
Summary from source