Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman berkata, lebih ramai individu dijangka dipanggil bantu siasatan termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 10 saksi setakat semalam dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM200 juta dalam eFishery, syarikat teknologi akuakultur Indonesia. Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman berkata, pihaknya telah mula merakam keterangan saksi sejak Selasa dan hingga semalam, kesemua saksi terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan yang terlibat dalam proses membuat keputusan telah dipanggil membantu siasatan.
"Rakaman percakapan daripada kesemua 10 orang saksi ini telah dirakam dan dimuktamadkan. Langkah tersebut adalah pada peringkat awalan penyiasatan," katanya dalam kenyataan, lapor Bernama. "Pegawai penyiasat sedang mengkaji keterangan tersebut serta meneliti dokumen yang diambil.
Pihak kami akan melaksanakan jejak aliran kewangan menerusi penelitian laporan transaksi tunai dan laporan transaksi mencurigakan." Tambahnya, lebih ramai individu dijangka dipanggil membantu siasatan termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat. Beliau berkata, dokumen yang sedang diteliti termasuk kertas cadangan awal, kertas cadangan akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat berkaitan eFishery, laporan ketekunan wajar, dokumen tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP. Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, beberapa pihak di luar negara turut dikenal pasti bagi membantu siasatan dan SPRM akan mengemukakan permohonan Bantuan Bersama Perkara Jenayah (Macma) melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa luar negara bagi mendapatkan keterangan daripada saksi terlibat.
Menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk pihak SPRM memberikan maklum balas setakat ini, beliau memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang dan masa agar siasatan boleh dijalankan secara menyeluruh. "Saya telah mengarahkan pasukan siasatan untuk melakukan siasatan secara terperinci dari segala aspek, secara telus, adil serta secara menyeluruh," katanya. Dalam pada itu, Abd Halim berkata, satu pasukan khas siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat isu itu, diketuai pengarah kanan Bahagian Siasatan dan dianggo…
Summary from source