Jurucakap Institut Jantung Negara berkata pihaknya tidak akan mengulas mengenai dakwaan, perkara sulit kakitangan atau proses dalaman membabitkan pekerja.PETALING JAYA: Beberapa kakitangan wanita, termasuk doktor membuat laporan polis terhadap seorang ketua jabatan di Institut Jantung Negara (IJN) atas dakwaan mereka trauma dengan tindakan pegawai atasan.Menurut sumber, laporan itu dibuat di IPK Kuala Lumpur kira-kira sebulan lalu.Tidak jelas sama ada dakwaan itu membabitkan gangguan secara fizikal atau lisan.Sumber berkata, pegawai atasan menggesa individu mendakwa dirinya mangsa supaya menarik balik laporan mereka. Tetapi, mereka enggan berbuat demikian kerana mahu memastikan rakan sekerja lain tidak berdepan gangguan sama kelak.Difahamkan, mereka sedang mendapatkan nasihat guaman berhubung tindakan susulan.Seorang lagi sumber berkata, ketua jabatan terbabit sedang bercuti.Jurucakap IJN, Aina Jamil, berkata semakan dalaman terhadap dakwaan itu sedang dijalankan dan pihaknya memandang serius laporan berkenaan.Menurutnya, IJN komited memastikan perkara itu dikendalikan mengikut dasar, prosedur dan rangka kerja tadbir urus ditetapkan."IJN bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan seperti yang ditetapkan undang-undang dan kami tidak boleh mengulas lanjut butiran tindakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perkara ini," katanya dalam e-mel kepada FMT."Kami telah menetapkan dasar, saluran pelaporan dan prosedur tatatertib untuk menangani sebarang kebimbangan yang dibangkitkan, termasuk berkaitan gangguan dan setiap laporan diterima akan dilayan dengan serius dan diuruskan mengikut rangka kerja tadbir urus kami.FMT telah menghubungi polis Kuala Lumpur untuk mengulas.
Summary from source