HomeWorld

Lebih 37,000 penjawat awam Sabah, Sarawak berkhidmat di Semenanjung

World 1 source 1 country 15m ago

Mustapha Sakmud berkata seramai 120 penjawat awam dari Sabah dan Sarawak bekerja dalam kumpulan pengurusan tertinggi di Semenanjung. PETALING JAYA: Seramai 37,575 penjawat awam Persekutuan kelahiran Sabah dan Sarawak kini berkhidmat dalam pelbagai sektor di Semenanjung, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud. Beliau berkata jumlah itu terdiri daripada 19,504 penjawat awam kelahiran Sabah dan 18,071 dari Sarawak.

“Jumlah itu merangkumi 120 orang dalam kumpulan pengurusan tertinggi, 15,513 orang kumpulan pengurusan dan profesional, serta 21,942 orang kumpulan pelaksana,” katanya menurut Bernama. Mustapha berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Senator Edward Linggu mengenai pelaksanaan dasar Borneonisasi pada persidangan Dewan Negara. Mengenai pengisian jawatan utama perkhidmatan awam Persekutuan di kedua-dua negeri, beliau berkata Sarawak sudah melepasi sasaran ditetapkan, manakala Sabah mencatatkan kadar hampir 70%.

Katanya, Sarawak menetapkan sasaran 80% jawatan utama diisi anak negeri itu, tetapi pencapaian semasa sudah mencecah 87.5%. Daripada 32 jawatan utama perkhidmatan awam Persekutuan di Sarawak, 28 kini diisi anak kelahiran negeri itu. Di Sabah pula, 23 daripada 33 jawatan utama, atau 69.7%, diisi anak tempatan.

Mustapha berkata proses pengisian jawatan di Sabah masih diteruskan bagi mencapai sasaran 90% ditetapkan kerajaan negeri. Menurutnya, kemajuan itu hasil rundingan berterusan mengenai dasar Borneonisasi menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63). Sebuah jawatankuasa kerja khas turut ditubuhkan di bawah majlis itu bagi memastikan dasar berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan terperinci.

Jawatankuasa dipengerusikan ketua pengarah perkhidmatan awam itu dianggotai wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerajaan Sabah dan Sarawak serta kementerian dan jabatan Persekutuan berkaitan. Mustapha berkata kerajaan Persekutuan menerusi JPA sentiasa menyokong dasar berkenaan dengan mengutamakan anak negeri dalam penempatan pegawai di Sabah dan Sarawak berdasarkan kelayakan, merit serta kesesuaian perkhidmatan.

Summary from source
Read the full story at the source Free Malaysia Today · MY
Get the news on TelegramTop stories & under-reported picks, straight to your feed — free. Join →