Low Kean Peng pada awalnya didakwa mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.KLANG: Bekas perancang acara yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, didakwa atas tuduhan membunuh penunggang motosikal mangsa yang maut akibat kemalangan itu, dua bulan lalu.Low Kean Peng, 35, didakwa membunuh Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 26, di Persiaran Kota di sini kira-kira 12.30 tengah malam pada 13 Mei lalu.Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Mahkamah menetapkan 21 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi manakala Low diwakili peguam Ethan Tan.Low sebelum ini didakwa pada 18 Mei mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada Zulfiqar.Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa memandu dengan kandungan alkohol sebanyak 196mg bagi setiap 100 mililiter darah, melebihi had yang dibenarkan iaitu 50mg bagi setiap 100ml darah.Zulfiqar meninggal dunia pada 25 Mei lalu, sebelum pendakwaan meneruskan pertuduhan bunuh terhadap Low.Terdahulu, Ethan memohon perintah larangan bersuara bagi menghalang orang awam dan keluarga mangsa daripada mengulas kes itu di media sosial sehingga kes selesai.Beliau berhujah bahawa komen sedemikian boleh mempengaruhi saksi dan menjejaskan hak anak guamnya untuk mendapat perbicaraan yang adil.Bagaimanapun, majistret tidak membenarkan permohonan itu dengan alasan ia difailkan di saluran tidak sesuai, selain menasihatkan Ethan supaya mengemukakan permohonan berasingan kemudian.Pasukan pembelaan turut dianggotai Benjamin Tan, Savinder Singh dan P Vitiya Monisha.
Summary from source