Pada 12 Okt 2023, MYAirline umum gantung operasi ekoran hadapi 'cabaran kewangan teruk'. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua dan entiti yang dikaitkan dengannya untuk membayar balik RM67.56 juta kepada 206 pelabur selepas memutuskan bahawa skim pelaburan yang dikendalikan mereka merupakan skim pengambilan deposit haram dan berunsur Ponzi.Mewakili plaintif, firma guaman Zharif Nizamuddin dalam kenyataan berkata, Hakim Leong Wai Hong mengeluarkan penghakiman ingkar pada 16 Julai selepas defendan gagal hadir ke mahkamah atau memfailkan pembelaan, walaupun saman telah diserahkan kepada mereka.Mahkamah mengisytiharkan bahawa Goh dan syarikat-syarikat tersebut beroperasi sebagai satu 'skim ekosistem' dan unit ekonomi tunggal, dengan Goh sebagai dalang utama di sebalik operasi itu.Mahkamah memutuskan, perjanjian pelaburan yang ditandatangani oleh pelabur terbatal sejak awal, produk yang dipasarkan kepada pelabur sebagai patuh syariah sebenarnya tidak mematuhi syariah, dan defendan telah berbohong atau mengelirukan pelabur.Goh dan entiti terbabit diarahkan, secara tanggungjawab bersama dan berasingan, membayar balik jumlah penuh yang dilaburkan oleh 206 pelabur terbabit, berjumlah RM67,556,087, berserta faedah pra-penghakiman pada kadar deposit tetap dan faedah pasca-penghakiman sebanyak 5% setahun.Mereka juga diarah menyerahkan butiran penuh akaun bank dan urus niaga kewangan, yang akan membantu peguam pelabur menjejak dan mendapatkan semula wang berkenaan.Mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM80,000 kepada pelabur.Pelabur memfailkan saman selepas mendakwa didorong antara 2018 hingga 2023 untuk meletakkan dana dalam skim tersebut melalui pelbagai instrumen, termasuk surat penyertaan, perjanjian pembiayaan rakan kongsi dan perjanjian langganan saham untuk saham keutamaan boleh tebus.Mereka mendakwa telah dijanjikan pulangan bulanan yang terjamin.Pada 28 Feb 2025, kesemua 206 pelabur itu memfailkan saman baharu yang menamakan Goh dan 30 pihak lain, termasuk individu, syarikat, sebuah firma guaman dan firma perunding syariah.Antara defendan termasuk I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd, I-Serve Travels & Tours Sdn Bhd, I-Serve Online Mall Sdn Bhd, Tawafuq Consultancy Sdn Bhd, Bright Moon Venture PLT, MM2217 PLT, dan QA Smart Partnership PLT.
Summary from source