HomeWorld

Majlis nafi tulisan Cina dipasang pada tanda ‘IPOH’

World 1 source 1 country 55m ago

Tanda ‘IPOH’ sedang menjalani kerja-kerja baik pulih selepas diturunkan pada 15 Julai lepas, kata MBI. (Gambar Bernama) IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan dakwaan tular di media sosial yang memaparkan tulisan bahasa Cina dipasang bersama mercu tanda ‘IPOH’ di atas bukit berhampiran Jalan Kuala Kangsar, dan mengesahkan imej itu palsu serta dimanipulasi. MBI memaklumkan imej yang disebarkan menerusi hantaran dalam kumpulan Facebook itu dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau melalui suntingan digital.

Katanya, tanda ‘IPOH’ sedang menjalani kerja-kerja baik pulih selepas diturunkan pada 15 Julai lepas bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur dan keadaan fizikal. “Kerja-kerja pemasangan semula tulisan IPOH dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja di tapak. “Sehubungan itu, sebarang imej yang memaparkan tulisan lain dipasang bersama perkataan IPOH di lokasi berkenaan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar,” menurut kenyataan.

Menurut MBI, penyebaran imej yang dimanipulasi bersama dengan kenyataan tidak benar adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan salah faham, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain berpotensi menjejaskan imej, keharmonian serta reputasi Ipoh. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai, mengulas, berkongsi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sebaliknya membuat semakan menerusi saluran rasmi MBI. “MBI turut memandang serius penyalahgunaan teknologi AI atau suntingan digital bagi menghasilkan kandungan palsu yang boleh mencetuskan ketegangan, kebencian dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa MBI sedang meneliti perkara berkenaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran kandungan palsu tersebut. MBI mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan prinsip “Tidak Pasti, Jangan Kongsi” dalam usaha membendung penularan berita palsu.

Summary from source
Read the full story at the source Free Malaysia Today · MY
Get the news on TelegramTop stories & under-reported picks, straight to your feed — free. Join →