Pakar berkata langkah awal kerajaan dapat membantu meningkatkan daya tahan sektor pertanian terhadap cuaca ekstrem dan ketidaktentuan global. PETALING JAYA: Fenomena El Niño dan ketegangan berterusan di Asia Barat berpotensi mencetuskan 'kejutan berganda' terhadap keterjaminan makanan negara, namun kerajaan merangka beberapa langkah bagi mengurangkan kesannya. Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 14 Julai lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kerajaan melaksanakan pelan kontingensi bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan paras air empangan secara berkala, operasi pembenihan awan di kawasan kritikal dan penggunaan telaga tiub bagi sektor tanaman. Kerajaan turut menggalakkan penanaman padi secara tabur kering bagi menjimatkan penggunaan air ketika fenomena El Niño. Pada masa sama, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mempergiat usaha menghasilkan varieti padi yang lebih tahan terhadap kemarau dan perubahan iklim, termasuk MR380, MR381 dan MR382.
Bagi mengurangkan tekanan kos pengeluaran susulan ketidaktentuan global, kerajaan akan memberikan pengecualian sementara cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas baja pertanian terpilih mulai 1 Jan lalu. Kerajaan juga menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada RM300 sehektar dan mengekalkan subsidi diesel nelayan pada kadar RM1.65 seliter bagi memastikan kapasiti pengeluaran agromakanan tempatan tidak terjejas. Ahli ekonomi dan pakar pertanian menyifatkan langkah itu sebagai tepat, namun menegaskan keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan di lapangan serta keupayaan meningkatkan daya tahan sektor pertanian dalam jangka panjang.
Christopher Teh Boon Sung dari Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia berkata, langkah diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menangani risiko utama berkaitan bekalan air, tanaman dan ternakan. Katanya, pemantauan sumber air dan sistem amaran awal adalah antara langkah paling kukuh kerana ia membolehkan tindakan diambil sebelum tanaman mengalami kerosakan. Namun, beliau menekankan keperluan KPKM menetapkan pencetus tindakan yang jelas di peringkat daerah supaya setiap agensi mengetahui bila dan bagaimana sesuatu intervensi perlu dilaksanakan.
“Keberkesanan langkah kerajaan perlu dinila…
Summary from source