Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan menyasarkan keputusan dasar berkaitan rumah generasi kedua Felda dimuktamadkan dalam tempoh sebulan. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan keputusan dasar berkaitan pembinaan rumah generasi kedua Felda dimuktamadkan dalam tempoh kira-kira sebulan bagi mempercepat pelaksanaan di seluruh negara.Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kertas cadangan akan dibawa ke mesyuarat bersama menteri besar, ketua menteri dan premier bagi membolehkan dasar itu dipersetujui semua kerajaan negeri."Dalam mesyuarat menteri besar, ketua menteri, premier dan perdana menteri, mungkin dalam tempoh sebulan saya akan buat kertas supaya ini menjadi keputusan dasar semua kawasan perumahan Felda diizinkan mengadakan rumah generasi kedua segera.“Keputusan sudah kita buat, cuma pelaksanaannya membabitkan kerjasama kerajaan negeri, termasuk isu bekalan air dan kemudahan asas,” katanya ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena sambutan 70 Tahun FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, malam tadi.Anwar juga mengarahkan pengurusan Felda mengemukakan laporan kemajuan setiap bulan supaya pelaksanaan semua inisiatif tidak terus tertangguh."Kadang-kadang saya tak salahkan rakyat. Kita umum, pelaksanaan itu orang bosan tunggu.
Saya tak mahu ada masalah dari sudut kelewatan," katanya.Pada 7 Julai lalu, Anwar mengumumkan tujuh inisiatif sempena sambutan 70 Tahun Felda, termasuk penyelesaian isu rumah generasi kedua, pindaan Akta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, pembinaan rumah kakitangan Felda, pemerkasaan digital serta peruntukan bagi sekolah dan program pembangunan komuniti peneroka.Antara cadangan utama ialah membolehkan lebih sebuah rumah dibina di atas lot peneroka melalui pindaan dasar dan perundangan bagi memberi penyelesaian kepada isu penempatan generasi kedua Felda yang berlarutan sejak sekian lama.Anwar sebelum ini turut berkata pindaan Akta Felda dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun, namun beberapa inisiatif boleh dilaksanakan lebih awal dengan kerjasama kerajaan negeri sementara menunggu pindaan undang-undang diluluskan.
Summary from source