Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand Piyasiri Wattanavarangkul di Istana Arau. (Gambar Istana Arau)PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menerima menghadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC), Piyasiri Wattanavarangkul, di Istana Arau hari ini bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama rentas sempadan.Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, turut berangkat pada pertemuan itu.Menurut kenyataan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah pertemuan tersebut membuka ruang meneroka peluang kerjasama baharu serta mengukuhkan kolaborasi sedia ada berasaskan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara masyarakat di kedua-dua belah sempadan.Baginda bertitah, hubungan berteraskan sejarah, budaya, agama dan ikatan kekeluargaan itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan kerjasama secara lebih menyeluruh.Antara perkara dibincangkan ialah usaha memperkukuh warisan Melayu-Islam termasuk pemeliharaan bahasa Melayu, tulisan Jawi, budaya, adat resam dan tradisi Islam, selain memperluaskan pertukaran budaya bagi mengeratkan hubungan rakyat, khususnya generasi muda.Kedua-dua pihak turut meneliti potensi kerjasama dalam pendidikan menerusi program pertukaran pelajar dan guru, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta penawaran biasiswa kepada pelajar dari wilayah selatan Thailand untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Perlis, termasuk Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).Perbincangan turut menyentuh kerjasama dalam pengurusan masjid, pengajian al-Quran dan pembangunan industri halal.Dalam sektor pelancongan, kedua-dua pihak membincangkan pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat, selain potensi ekopelancongan serta promosi gastronomi tempatan.Cadangan lain merangkumi program pembangunan kepimpinan belia, pertukaran sukan, pembangunan keusahawanan, aktiviti kesukarelawanan, kerjasama bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan.
Summary from source