Naib Presiden PKR, R Ramanan (kiri) berkata kejayaan Ong Kian Ming membuat satu unjuran yang tepat tidak menjadikan bekas Ahli Parlimen Bangi itu seperti Nostradamus.PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, R Ramanan, menolak unjuran bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tewas dalam PRN Negeri Sembilan, malah menyamakan pemimpin DAP itu dengan seorang 'tukang tilik'.Mengulas unjuran Ong bahawa PH mungkin menang 11 hingga 13 daripada 36 kerusi DUN, dengan PKR hanya satu, Ramanan berkata, berjaya buat satu unjuran yang tepat tidak menjadikan seseorang itu pakar dalam meramalkan keputusan pilihan raya akan datang.“Kadang-kadang kita pergi jumpa tukang tilik dan minta nombor ekor 4D. Tukang tilik itu beri 1,000 orang dengan 1,000 nombor yang berbeza. Orang yang nombornya menang akan kata tukang tilik itu memang hebat.“Hanya kerana sekali ramalan anda tepat, itu tidak bermakna anda ialah Nostradamus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Senawang.Ramanan merujuk Nostradamus, ahli astrologi Perancis abad ke-16 yang terkenal dengan karya 'Les Prophéties', yang mengandungi rangkap puisi samar yang kemudiannya didakwa meramalkan pelbagai peristiwa besar dalam sejarah.Beliau turut menolak perbandingan dengan PRN Johor, di mana ramalan Ong hampir menyamai keputusan sebenar, sambil menegaskan bahawa Negeri Sembilan merupakan medan politik yang berbeza.“Kita memang tahu Johor adalah medan yang sukar.
Tetapi ia tidak sama di Negeri Sembilan.”Semalam, Ong mengunjurkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memenangi antara 23 hingga 25 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, sekali gus membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.Menurutnya, kerjasama pilihan raya BN-PN akan membolehkan kedua-dua gabungan itu mengukuhkan sokongan pengundi Melayu dengan mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru.Beliau turut mengunjurkan PH hanya akan memenangi antara 11 hingga 13 kerusi, manakala PKR dijangka memperoleh hanya satu kerusi.Dalam PRN kali ini, PH bertanding di semua 36 kerusi DUN. BN pula bertanding di 25 kerusi menerusi kerjasama dengan PN yang diterajui PAS, manakala PN bertanding di baki 11 kerusi tanpa pertindihan calon.Bersatu, walaupun masih merupakan komponen PN, bertanding secara berasingan menggunakan logo sendiri di 24 kerusi.
Summary from source