Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim tunjuk lokasi cadangan projek mitigasi banjir bagi Petaling Jaya. (Gambar Bernama) SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melaksanakan Projek Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Sederhana melibatkan kawasan berisiko di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan peruntukan RM40.5 juta bagi mengurangkan risiko banjir kilat. Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata, peruntukan itu merangkumi 39 skop kerja yang dibahagikan kepada langkah segera dan langkah sederhana bagi menangani isu banjir secara lebih tersusun.
Pelaksanaan projek itu, katanya, dirangka susulan kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di kawasan bandar akibat pembangunan pesat, taburan hujan berintensiti tinggi serta cabaran perubahan iklim global. “Langkah segera melibatkan projek yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan, manakala langkah sederhana memakan masa sehingga setahun untuk penambahbaikan yang lebih mampan,” katanya pada sidang media khas pengurusan banjir yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon. Izham berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, 26 projek dikategorikan di bawah langkah segera membabitkan kos RM20.1 juta manakala 13 lagi projek di bawah langkah sederhana melibatkan peruntukan RM20.4 juta.
Katanya, 12 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi fokus, dengan tiga kawasan diberi keutamaan kritikal, iaitu Seksyen 51A (Jalan 223), Kampung Cempaka dan kawasan terowong FAS berhampiran Jalan PJU 1A. Menurut Izham, pelaksanaan projek itu merangkumi pembinaan dinding banjir, pemasangan pintu kawalan air, pembinaan kolam takungan serta penggunaan teknologi baharu seperti ecoblock dari Jerman. Beliau berkata, setiap projek memerlukan kajian teknikal dan reka bentuk yang teliti sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan bagi memastikan isu seperti laluan utiliti bawah tanah dan pemilikan tanah dapat diselesaikan terlebih dahulu.
Sementara itu, Mohamad Zahri berkata, MBPJ turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban peniaga yang terjejas akibat banjir kilat pada 20 April dan 6 Mei lepas. Beliau berkata, langkah itu termasuk pemasangan sistem penggera dan pengesan paras air longkang serta penambahbaikan kemudahan. “Antara inisiatif yang dilaksanakan MBPJ ialah pengecualian sewa premis perniagaan dan pengurangan kadar sewa sebanyak 30%…
Summary from source