Penganalisis berkata Bersatu perlu membina kekuatan sendiri kerana tanpa PAS dan BN parti itu akan bergelut untuk menarik sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran. PETALING JAYA: Bersatu perlu menerima hakikat masa depannya dalam Perikatan Nasional semakin kabur dan tiba masa berhenti mengimbau kejayaan politik lampau, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan strategi serta kerjasama baharu, kata penganalisis. Pandangan itu susulan kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mengaitkan kemenangan terbesar PAS pada PRU15 dengan kerjasama partinya dalam PN, sekali gus mendakwa gabungan itu berjaya menarik hampir 70% sokongan pengundi Melayu.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, walaupun kenyataan Muhyiddin mempunyai asas berdasarkan keadaan ketika PRU15, landskap politik kini sudah berubah dan Bersatu perlu menerima realiti semasa. "Saya rasa memang sudah tiba masa Bersatu menerima hakikat masa depan mereka dalam PN sangat kabur. Jadi, jika benar-benar serius mahu bergerak ke hadapan, mereka perlu memilih rakan baharu dan memikirkan strategi politik baharu.
"Pada masa sama, saya faham mengapa Bersatu masih bercakap mengenai PN kerana, khususnya bagi Muhyiddin, beliau merasakan dirinya pengasas gabungan itu dan PN pernah menjadi kekuatan utama Bersatu," katanya kepada FMT. Sebelum ini, Muhyiddin berkata kejayaan PAS mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah parti itu dengan memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah hasil kerjasama politik antara PAS dan Bersatu dalam PN. Katanya, perkara itu dibuktikan apabila beberapa kawasan dimenangi PAS ketika bertanding bawah tiket PN menyaksikan peningkatan majoriti ketara berbanding pilihan raya sebelumnya.
Menurutnya, sokongan orang Melayu terhadap PN banyak dipacu kerjasama PAS dan Bersatu, yang menurutnya berjaya menarik hampir 70% pengundi. Mengulas lanjut, Syaza berkata Bersatu kini perlu membina kekuatan sendiri kerana tanpa PAS dan BN, parti itu akan bergelut untuk menarik sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran. Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata Muhyiddin kini perlu membuktikan Bersatu masih mempunyai kekuatan sendiri selepas perpecahan yang berlaku dalam parti itu.
Katanya, Muhyiddin perlu membuktikan partinya masih mempunyai sokongan pada PRN Negeri Sembilan, lebih-lebih lagi apabila menggunakan logo…
Summary from source