Lagu Negaraku lahir bersama kelahiran negara merdeka. Ia diperdengarkan buat pertama kali selepas tengah malam 31 Ogos 1957 ketika bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan menggantikan Union Jack. Sejak itu, Negaraku menjadi simbol rasmi negara dan patriotisme rakyat.
Namun Negaraku tidak sepatutnya sekadar lagu yang kita nyanyikan atau ritual yang membuat kita berdiri tegak sebagai tanda hormat. Ia sepatutnya menjadi janji moral tentang negara yang mahu kita bina iaitu sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu dan maju. Sempena Bulan Kebangsaan ini, kita wajar bertanya dengan jujur kepada persoalan adakah kita benar-benar menghayati apa yang kita nyanyikan?
Saya sendiri pernah mengalami satu detik yang sangat menyentuh hati saya ketika bersama- sama menyanyikan lagu Negaraku. Apabila sampai kepada rangkap 'rakyat hidup bersatu dan maju', hati saya tiba-tiba terasa sayu. Ini disebabkan kita tahu realitinya dan juga kita perlu berani mengakuinya.
Kesepaduan rakyat Malaysia masih sentiasa diuji dan polarisasi kaum dan agama yang belum selesai. Politik identiti masih mudah dieksploitasi dan perbezaan politik semakin mudah berubah menjadi permusuhan sosial. PRN Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar tentang siapa menang dan siapa kalah.
Keputusan pilihan raya adalah hak demokrasi rakyat dan mesti dihormati. Tetapi di sebalik keputusan tersebut, kita perlu membaca isyarat yang lebih besar termasuklah politik identiti, sentimen kaum dan agama masih mempunyai tempat yang kuat dalam percaturan politik negara. Perkembangan di Johor di mana sebahagian pengundi semakin terbuka menilai parti dan calon melampaui garis kaum.
Tetapi kita tidak boleh terlalu cepat berasa lega. PRN Negeri Sembilan pula menunjukkan bahawa polarisasi kaum dan agama masih menjadi faktor penting dalam politik negara ini, khususnya melalui mobilisasi sentimen Melayu-Islam. Namun, keputusan pilihan raya membuktikan bahawa pengundi tidak sepenuhnya terikat kepada garis kaum dan masih mempunyai ruang untuk membuat pilihanberdasarkan faktor lain seperti kredibiliti, integriti dan personaliti calon.
Summary from source