Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Tingkatan 6 perlu mendapat pengiktirafan khas dan tidak dilayan sebagai sebahagian sekolah menengah, walau berkongsi kampus sama. (Gambar Bernama)PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Tingkatan 6 buat masa ini kekal di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan.Ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini, Anwar menekankan kepentingan untuk pelajar Tingkatan 6 melihat diri mereka sebagai pelajar lepasan sekolah dan prauniversiti."Buat sementara ini biar kekal dahulu di Kementerian Pendidikan kerana masalah sistem guru dan sebagainya. Kita boleh kaji semula selepas pelaksanaan untuk beberapa tahun akan datang," katanya.Anwar berkata, walaupun program Tingkatan 6 dijalankan di kampus sama dengan sekolah menengah, ia mesti ditempatkan di blok khas, dengan pengetua menguruskannya sebagai program berasingan.Beliau berkata, sebagai contoh, pelajar Tingkatan 6 sepatutnya mempunyai perhimpunan mereka sendiri, berasingan daripada pelajar Tingkatan 5 dan ke bawah.“Mereka patut menerima pengiktirafan khas, sebagai bahagian yang berasingan dan bukannya dilayan sebagai sebahagian daripada sekolah (menengah), walaupun berkongsi kampus yang sama,” katanya.“Kalau berada dalam sekolah yang sama sekali pun, mereka perlu mempunyai blok berasingan, diurus sebagai program berasingan, dan diberi pengiktirafan khas,” katanya.Beliau berkata, kerajaan akan menyemak semula pelaksanaannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.Pada April, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, berkata kementeriannya sedang memuktamadkan rangka kerja undang-undang dan pentadbiran untuk membawa pengajian Tingkatan 6 dan matrikulasi di bawah bidang kuasanya.Anwar mengumumkan pada Januari, bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih sistem pendidikan prauniversiti bagi Tingkatan 6 dan matrikulasi bermula tahun ini, secara rasminya mengiktiraf kedua-dua kumpulan tersebut sebagai pelajar pengajian tinggi.Penyusunan semula ini dilaksanakan berikutan kebimbangan bahawa pengajian Tingkatan 6 telah 'terabai, berbanding matrikulasi dan laluan prauniversiti lain.
Summary from source