Ketua Polis Brickfields Hoo Chang Hook berkata pelarian memilih destinasi baharu itu berdasarkan kenalan dan saudara mara mereka di sana. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Seramai 113 pelarian, termasuk 110 etnik Rohingya dipindahkan ke lokasi di tiga negeri yang diuruskan badan bukan kerajaan (NGO) serta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).Ketua Polis Brickfields, Hoo Chang Hook, berkata 66 orang ditempatkan di Kuala Lumpur, 29 di Selangor dan baki 18 di Pulau Pinang."Destinasi pilihan pelarian terbabit adalah Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang berdasarkan kenalan dan saudara mara mereka di destinasi terbabit," katanya menurut Harian Metro.Semalam, media melaporkan 113 pelarian yang ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur, dipindah ke lokasi lain ditetapkan sebuah NGO.Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan berkata, kumpulan itu dibenarkan keluar dari IPK ke destinasi baharu, yang tidak didedahkannya, kira-kira 4 petang.Kumpulan itu terdiri daripada 110 pelarian Rohingya — termasuk 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan — seorang lelaki Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.Sebelum itu, mereka berkampung di depan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, setibanya di ibu negara awal pagi Isnin lalu dengan menaiki tiga bas, selepas diusir penduduk di penempatan mereka di Pulau Pinang.
Summary from source