Mohd Zuhaimi Md Yusof rancang untuk bawa francais popular seperti KFC, FamilyMart dan C Mart ke Juasseh.KUALA PILAH: Calon Bersatu bagi DUN Juasseh Mohd Zuhaimi Md Yusof berjanji membawa francais makanan dan peruncitan popular ke kawasan itu sekiranya menang PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.Zuhaimi berkata langkah itu bagi merancakkan ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bekerja sementara menunggu keputusan atau melanjutkan pengajian.Malah beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Mie turut menyatakan kesediaan mengeluarkan modal membuka francais sendiri jika tiada pelabur mahu berbuat demikian.Antara francais dicadangkan ialah KFC, FamilyMart dan C Mart."Anak muda di sini kalau hendak ke KFC terpaksa ke Bahau atau Kuala Pilah."Insya-Allah, kalau saya menang, kita akan cuba bawa francais yang digemari anak muda."Jika tiada pihak mahu melabur, saya sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk membuka francais sendiri yang digemari anak muda," katanya pada siri kempen bersama Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali.Dalam pada itu, beliau juga mahu membawa lebih banyak kemudahan seperti mesin juruwang automatik (ATM) yang didakwanya masih belum ada di DUN berkenaan.“Kalau menang, saya akan usahakan pemasangan sekurang-kurangnya sebuah ATM di Juasseh.“Sekarang ini penduduk terpaksa ke Batu Kikir untuk menggunakan ATM Affin Bank,” katanya yang juga mahu menaik taraf sistem perpaipan di kawasan itu.Zuhaimi berdepan calon Barisan Nasional (BN) Ismail Lasim dan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Aidil Abdullah di kerusi Juasseh.Pada PRN 2023, calon BN Bibi Sharliza Mohd Khalid menewaskan calon Perikatan Nasional Eddin Syazlee Shith dengan majoriti 78 undi.
Summary from source