Shafie Apdal dilaporkan mempersoalkan tempoh masa diambil untuk inkues kematian Zara Qairina Mahathir pada satu majlis di Kinabatangan pada 20 Sept tahun lalu.PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Papar menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadap Presiden Warisan Shafie Apdal selepas mendapati beliau bersalah menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.Bagaimanapun, Hakim Amir Shah Amir Hassan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Ahli Parlimen Semporna berkenaan di Mahkamah Tinggi.Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Shafie melampaui keraguan munasabah, sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.Peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil serta Chen Ket Chuin.Ketika berucap pada satu acara di Kinabatangan pada September tahun lalu, Shafie dilaporkan menyifatkan kematian Zara sebagai 'pembunuhan' dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes itu.Kenyataan itu dibuat ketika inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di hadapan Amir.Pada 23 Okt tahun lalu, peguam negara mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Shafie, yang juga bekas ketua menteri Sabah.Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.Inkues bagi menentukan punca kematiannya masih berjalan.
Summary from source